Bermain dengan Bahasa: Tips Mudah dan Cara Nak Pandai Bahasa Inggeris

Anda tahu cara untuk bercakap Bahasa Inggeris.

Anda sudahpun mengetahui asas-asasnya; anda juga mampu untuk bercakap yang mudah-mudah,

Anda boleh menamakan kesemua benda yang anda lihat, anda juga sudah mampu melalui pemeriksaan kastam dan keselamatan di lapangan terbang dan lain-lain lagi.

Tetapi bagaimana caranya untuk terus meningkat dan betul-betul pandai Bahasa Inggeris? 

Anda boleh bercakap—ya betul—tetapi bagaimana untuk bercakap dengan penuh keyakinan?

Anda sudah dapat membayangkan tahap kemahiran Bahasa Inggeris yang seterusnya, namun, anda tidak tahu caranya untuk mendaki ke tingkat yang seterusnya. Tambahan pula, anda sudahpun bosan dengan rumitnya grammar……

Jadi apa yang anda perlu buat?

BERHENTI belajar Bahasa Inggeris dan MULA bermain dengannya! 

Anda sudahpun menghafal, mengulang-ulang, membuat latihan—maka sekarang adalah masa untuk berseronok! Apabila anda mula bermain dengan sesuatu bahasa, ketahuilah bahawa anda sudahpun semakin hampir untuk menjadi seorang yang benar-benar mahir dalam Bahasa Inggeris.

Seorang applied linguist (pakar bahasa) Guy Cooke percaya bahawa:

Permainan bahasa tidak seharusnya dianggap sebagai aktiviti trivia atau sampingan sahaja, namun ianya adalah teras kepada gaya fikir dan budaya manusia, untuk pembelajaran, memupuk kreativiti dan sifat inkuisitif. Ia juga memenuhi satu fungsi utama bagi bahasa itu sendiri, yang merupakan satu asa kepada kapasiti manusia untuk mengadaptasi; sebagai seorang individu, sekelompok masyarakat dan sebagai satu spesis hidupan (Katalog UK).

Ringkasannya, untuk bercakap dengan lancar di dalam bahasa yang kedua, ketiga malah yang keempat, anda mestilah mampu untuk bermain dengannya. Dan apa yang kami maksudkan dengan bermain dengan bahasa adalah bila mana anda mampu menyelami bahasa sesuatu bahasa itu melalui budaya dan sifat linguistiknya.

Kami rangkumkan di bawah, satu senarai cara-cara yang berbeza, untuk anda gunakan dan bermain dengan Bahasa Inggeris. Tidak kiralah cara apa sekalipun yang anda pilih, namun, pastikan ianya seronok dan disukai anda. Jika tidak, ia bermakna yang anda tidak akan betul-betul bermain dengannya!

Teruskan mencuba cara yang berlainan sehingga menjumpai sesuatu yang betul-betul serasi dengan diri anda. Cara-cara yang dinyatakan dibawah akan membantu anda menjadi seorang yang betul-betul pandai dan mahir dan berbahasa inggeris. Ianya akan membantu anda menyelami bukan sahaja gaya bahasanya, namun, budayanya sekali. Ada sebahagian daripadanya boleh dilakukan secara bersendirian, namun, terdapat juga permainan seperti latihan percakapan yang memerlukan anda mecari rakan atau pasangan.

Namun begitu, apa sekalipun, pastikan anda berseronok!

1)  Cuba bermain dengan beberapa Tongue Twisters

Apa yang anda bakal pelajariPronunciation, ketepatan sebutan.

Biarkan rakan anda berasa kagum mendengar anda menyebut perkataan-perkataan dari Tounge Twister.  Jangan bimbang sekiranya anda memrlukan masa untuk mengulang-ulang ayat-ayat ini, kerana Tounge Twister ini juga terbukti sukar sungguhpun buat para penutur asli.

Contoh: “If two witches would watch two watches, which watch would which witch watch?

Adakah anda berjaya untuk menyebutnya dengan tepat?

Ikuti link ini untuk mendapatkan lebih daripada 600 tongue twister yang lain, dan mungkin juga anda boleh cuba untuk mencipta ayat lembut lidah anda sendiri!

2) Dengar Muzik Kegemaran Anda

Apa yang anda bakal pelajari: Perbendaharaan Kata, Rima Kata, Intonasi

Anda mungkin gemar mendengar lagu-lagu Bahasa Inggeris, namun, adakah anda faham kesemua maksud perkataannya? Mendengar muzik adalah satu cara yang terbaik untuk menemui perkataan-perkataan baru selain daripada melatih intonasi sebutan Bahasa Inggeris anda. Di dalam lagu-lagu, intonasinya sudah pasti berbeza, kerana terdapat melodi lagu itu sendiri. Namun begitu, anda masih boleh mendengar dan memahami tempat-tempat yang diberi penekananan dalam bait-bait liriknya.

Jika anda mahu memastikan bahawa apa yang anda dengari dan apa yang anda sebutkan adalah perkataan yang betul, sila periksa lirik yang betul di laman web lirik lagu ini.

Anda mahu mencuba sesuatu yang lebih mencabar?
Maka, cuba terjemahkan lirik lagu kegemaran anda di dalam bahasa melayu kepada bahasa Inggeris.

Cabar diri sendiri untuk mencipta frasa-frasa Bahasa Inggeris yang baru yang membawa maksud yang paling tepat dengan lirik asalnya di dalam bahasa melayu.

Markah bonus untuk anda sekiranya anda dapat mengekalkan ritma atau sekurang-kurangnya menggunakan perkataan dengan jumlah suku kata yang sama dengan perkataan asal!

3) Cara Sebutan yang Sempurna dengan Pembacaan Puisi

Apa yang anda bakal pelajari: Pronunciation, Intonasi, Rima Kata, Perbendaharaan Kata (advanced)

Pelajari segalanya tentang rima kata (perkataan-perkataan yang mempunyai bunyi yang sama pada penghujungnya) dan juga lenggok sesuatu puisi!

Berlatihlah membaca sajak atau apa jua puisi dengan suara yang jelas dan lantang untuk berlatih rima kata, ataupun anda boleh bergandingan dengan rakan anda mahupun dengan penutur asli. Lawati laman web ini untuk membantu anda bermula!

Terjemahkan puisi kegemaran anda dalam bahasa melayu kepada bahasa inggeris. Ataupun, cubalah menulis puisi nukilan anda sendiri.

Tidak dinafikan bahawa penulisan sajak dan puisi adalah proses yang agak mencabar, namun ianya dapat memberikan satu kepuasan. Pada permulaannya, anda boleh berlatih menulis sajak yang ringkas seperti haiku. Jika anda sudah semakin mahir, maka lawatilah laman web ini bagi mendapatkan maklumat dan tips untuk menulis sajak berbentuk sonnet.

Namun awas. Banyak perkataan-perkataan yang digunakan di dalam puisi dianggap sebagai literary (perkataan-perkataan sukar, yang biasa digunakan dalam sastera). Oleh itu, anda mungkin tidak akan menggunakan sebahagian besar daripadanya di dalam percakapan biasa.

4) Tingkatkan Kemahiran Reading Comprehension Melalui Kisah-Kisah Dongeng

Apa yang anda bakal pelajari: Perbendaharaan Kata, Rima Kata, Penceritaan

Kebanyakan hikayat kisah dongeng mempunyai plot cerita yang mudah dan hanya beberapa watak sahaja. Hal ini membuatkan ia lebih mudah untuk diingati.

Oleh kerana hasil kesusasteraan Bahasa Inggeris biasanya berakar-umbi daripada karya-karya dari Jerman dan Denmark, maka, pembacaan beberapa cerita seperti ini akan memberikan anda peluang untuk mendapatkan sekilas pandang budaya Bahasa Inggeris dalam sudut pandang yang berbeza.

Selepas membaca cerita-cerita dongeng ini, cubalah untuk menceritakannya semula kepada diri anda sendiri atau pada rakan anda.

5) Berlatih Berfikir di dalam Bahasa Inggeris dengan Membuat Jurnal

Apa yang anda bakal pelajari: Grammar, Perbendaharaan Kata

Aktiviti ini bakal meningkatkan mutu perkataan yang anda gunakan sehari-harian.

Sekiranya anda cuba untuk menerangkan sesuatu perkara tetapi tidak mempunyai perkataan yang cukup dan sesuai untuknya, besar kemungkinan yang anda perlu mencarinya di dalam kamus atau dengan cara yang bersesuaian. Oleh itu, adalah lebih mudah sekiranya anda mula berlatih untuk berfikir di dalam Bahasa Inggeris.

Anda boleh mencuba untuk menggunakan jurnal secara dalam talian seperti yang terdapat di italki. Daftar, klik pada “Community,” kemudiannya klik pada “Notebook.” Para penutur asli Bahasa Inggeris akan dapat melihat tulisan anda sekaligus membantu untuk membuat pembetulan ke atas tulisan jurnal tersebut.

Selain itu, anda juga boleh mencuba pilihan yang lebih baik; carilah teman ulang kaji atau pasangan pertukaran bahasa secara percuma atau tutor Bahasa Inggeris peribadi yang berbayar di italki. Teman bahasa anda ini dapat membantu untuk menyemak tulisan anda dan memberikan meklum balas yang mendalam.

Sebagai permulaan, cubalah menulis tentang kehidupan harian anda. Apa yang telah berlaku hari ini? Apa pula perancangan anda untuk hari esok? Ikuti tips-tips ini untuk membantu anda menulis jurnal harian.

Manakala, bagi pelajar Bahasa Inggeris yang sudah terkehadapan, Anais Nin adalah satu contoh penulisan yang sangat baik. Sungguhpun diari beliau diterjemahkan daripada Bahasa Perancis, namun, cara penulisannya yang sungguh puitis boleh dijadikan sebagai contoh buat pelajar Bahasa Inggeris lebih-lebih lagi yang menggemari seni!

Sekiranya anda masih lagi buntu mencari idea penulisan, cubalah menulis sebuah “Jurnal Mimpi”. Ianya boleh digunakan untuk mencatat segala mimpi anda pada setiap pagi. Ia juga merupakan satu cara yang menyeronokkan untuk mengingati mimpi-mimpi anda.

6) Tingkatkan Pemahaman Budaya Sesuatu Bahasa Melalui Lawak Jenaka

Apa yang anda bakal pelajari: Sarcasm, Intonasi.

Kebolehan untuk memahami jenaka di dalam sesuatu bahasa adalah satu perkara yang penting untuk memahami budaya bahasa tersebut. Manythings adalah satu contoh laman web yang bagus untuk mencari beberapa contoh lawak jenaka klasik.

Ya, kebanyakan daripada lawaknya adalah sedikit cheesy (tidak terlalu kelakar atau jenaka lapuk), namun, yang lebih penting adalah untuk anda melihat contoh-contoh permainan perkataan yang biasa digunakan di dalam Bahasa Inggeris.

Selain itu, anda juga boleh mendengar dan menonton pelawak-pelawak terkenal masa kini—seperti Hannibal Buress—yang memberikan kritikan-kritikan menarik dan sinis terhadap budaya masayarakat Amerika. Anda juga dapat melihat contoh penggunaan slang yang banyak dan juga obscenities (kata-kata kotor di dalam Bahasa Ingeris!).

7) Belajar Meluahkan Pendapat Melalui Berita dan Debat

Apa yang anda bakal pelajari: Perbendaharaan Kata, Bahasa Ingeris Formal

Adakah anda mempunyai pelbagai pendapat? Maka, sentiasalah menambah perbendaharaan kata anda untuk meluahkan pendapat-pendapat tersebut.

Tontoni debat-debat untuk meningkatkan kemahiran mendengar dan juga bagi menambah perbendaharaan kata anda. Siri debat ini adalah salah satu contoh terbaik bagi melihat penggunaan Bahasa Inggeris yang formal.

Anda juga boleh mengadakan siri perdebatan inisiatif sendiri dengan menjemput rakan-rakan anda. Selain itu, anda boleh menulis esei yang bersifat argumentatif. Pilih satu topik yang tidak dipersetujui di antara anda dan rakan, dan carilah cara untuk mengolah pendapat anda itu melalui penulisan.

Namun begitu, sebelum anda mencari topik bagi menyampaikan pendapat, pastikan anda mencari sumber yang baik terlebih dahulu.

Pembacaan akhbar boleh menjadi satu proses yang sedikit mencabar, walaupun buat penutur asli. Namun begitu, Breaking News English adalah satu laman web yang bagus buat mereka yang mahu mengikuti berita dalam Bahasa Inggeris. Laman web ini mengambil artikel sebenar dari surat khabar melalui sumber-sumber seperti BBC lalu menyunting kesemuanya mengikut tahap pembelajaran Bahasa Inggeris yang anda mahukan.

Ataupun, jika anda benar-benar berazam dan mahu untuk membaca artikel-atrikel berita yang sebenar, anda boleh menggunakan artikel daripada Breaking News English yang telah disunting untuk mendapatkan ringkasan bagi sesuatu berita sebelum anda mula menggunakan artikel yang lebih kompleks.

Semakin rendah tahapannya, semakin mudah tahap kesukaran perkataan yang digunakan, dan semakin ringkas beritanya, maka, cabarlah diri anda!

8) Asah Skil Percakapan dengan Menonton Filem

Apa yang anda bakal pelajari: Slang, Percakapan kasual, memberi penerangan

Jangan hanya menonton filem, tetapi, bercakaplah tentangnya.

Untuk permulaan, daripada menggunakan sarikata, sebaliknya, gunakanlah skrip filem dalam talian dan ikutinya bersama-sama apabila anda menonton filem tersebut. Tandakan atau gariskan dialog yang anda sukai. Bincangkan mengapa anda sukakan dialog-dialog tersebut; mungkin anda mendapatinya sebagai suatu yang kelakar atau suatu yang penuh dengan fakta. Mungkin juga ianya dialog yang memberi klu kepada babak seterusnya dalam filem tersebut.

Ataupun, anda boleh menandakan bahagian-bahagian di dalam skrip tersebut yang membuat anda keliru tentang perkembangan jalan ceritanya. Periksa di laman Imsdb; suatu pangkalan data skrip-skrip drama TV dan juga filem. Selain itu, laman Filmtank pula menyediakan forum-forum untuk membincangkan filem-filem.

Sebaik sahaja anda selesai meneliti beberapa dialog-dialog yang bagus, dapatkan rakan anda yang turut berkongsi minat yang sama untuk membincangkan tema, plot, genre dan falsafah di sebalik filem tersebut. Jadilah pengkritik filem untuk hari tersebut.

9) Tambahkan Keyakinan dengan Menggunakan Media Sosial

Apa yang anda bakal pelajari: Grammar, Frasa Percakapan, Gaya Bahasa Badan, Slang terkini

Sekiranya anda mempunyai dan mengenali penutur asli Bahasa Inggeris, adalah sangat ideal dan baik untuk berlatih menggunakan Bahasa Inggeris dengan mereka. Namun begitu, pilihan kedua yang terbaik, adalah dengan berlatih bersama rakan yang juga sedang belajar Bahasa Inggeris.

Tetapi, jika kesemua mereka tidak dapat dijumpai secara bersemuka, anda boleh masih boleh menghubungi mereka di internet. Laman web Language exchange, forum-forum filem, Twitter, Reddit, dan pelbagai lagi perbincangan yang berlaku di alam maya adalah tempat yang terbaik untuk berkenalan dan berhubung dengan penutur asli dan juga rakan belajar Bahasa Inggeris.

Percayalah yang ini adalah cara yang baik untuk jadi pandai dalam Bahasa Inggeris. Sungguhpun anda merupakan seorang pemalu. Ia dapat meningkatkan keyakinan anda, sebelum betul-betul berkomunikasi dengan orang ramai secara bersemuka. Ya betul, komunikasi di dalam maya tidak akan dapat menandingi percakapan di dunia sebenar, namun, ambillah peluang kemudahan yang tersedia di dalam talian terlebih dahulu untuk meningkatkan keyakinan sebelum mencabar keupayaan diri di dunia sebenar.

10) Tambahkan Pemahaman Kata Pepatah dan Perumpamaan

Apa yang anda bakal pelajari: Percakapan yang lebih natural, Nuansa Bahasa

Semakin banyak anda belajar tentang subjek ini, semakin bagus. Para penutur Bahasa Inggeris biasanya menyulami percakapan mereka dengan perumpamaan dan pepatah dalam percakapan harian.

Jika anda sedang mencari senarai perumpamaan yang tipikal, cuba semaknya di senarai ini. Pilih beberapa perumpamaan yang anda suka, dan cubalah untuk menggunakannya di dalam latihan percakapan anda selepas ini.

Buku komik juga adalah sumber yang bagus untuk menemui kata pepatah dan perumpamaan kerana ia biasanya ditulis dalam nada yang lebih kasual. Sebagai contoh, Calvin and Hobbes oleh Bill Watterson adalah pilihan yang tepat sebagai permulaan.

 

Akhir kata, sealanya bergantung kepada diri anda sendiri untuk menilai dan memilih cara yang paling sesuai untuk anda.

Apa sebenarnya yang membuat anda terhibur? Apa yang anda betul-betul gemari?

Jika tiada satu perkara pun dari senarai di atas yang kelihatan menyeronokkan bagi anda, carilah cara yang lebih bersifat peribadi, yang lebih unik untuk anda mula bermain dengan Bahasa Inggeris. Asalkan ianya serasi dengan minat anda.

Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Mulalah mendaki tangga kemahiran yang lebih tinggi dan mulalah bermain dengan Bahasa Inggeris!

Enter your e-mail address to get your free PDF!

We hate SPAM and promise to keep your email address safe

Close